mcmc
Kemudahan Asas

Menambah Baik Capaian Internet di IPTA: 3,149 Titik Akses Wi-Fi Siap Dipasang

Dalam usaha untuk meningkatkan kemudahan capaian Internet di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sebanyak 3,149 titik akses (AP) Wi-Fi telah berjaya dipasang di tiga universiti awam utama, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Ini merupakan sebahagian daripada fasa pertama inisiatif penambahbaikan yang dijalankan melalui kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pagi tadi, saya berkesempatan melawat Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba) di UM untuk meninjau status pemasangan AP Wi-Fi yang telah dilaksanakan. Di UM sahaja, fasa pertama ini telah menyaksikan pemasangan sebanyak 1,837 AP Wi-Fi yang merangkumi empat fakulti dan satu kolej kediaman. Ini adalah satu langkah penting dalam memastikan mahasiswa mendapat akses Internet yang lebih stabil dan pantas bagi menyokong keperluan akademik mereka.

Fasa kedua inisiatif ini dijadualkan bermula pada bulan Mac nanti dan akan memberikan manfaat kepada 14 universiti awam (termasuk UM), 24 politeknik serta 43 kolej komuniti di seluruh negara. Lebih menarik, hampir 32,000 AP Wi-Fi akan dipasang dalam fasa ini dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Julai. Ini merupakan satu lonjakan besar dalam usaha memastikan setiap mahasiswa mendapat akses yang lebih baik kepada kemudahan digital, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini yang semakin berteraskan teknologi.

Sempena lawatan saya ke UM, saya juga berpeluang menyampaikan sumbangan sebanyak 50 komputer riba kepada mahasiswa UM, khususnya mereka yang terjejas akibat bencana banjir pada hujung tahun lepas. Diharapkan sumbangan ini dapat membantu mereka meneruskan pengajian dengan lebih lancar.

Usaha ini bukan sahaja meningkatkan infrastruktur digital di institusi pendidikan tinggi, tetapi juga memperkukuhkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses Internet yang lebih inklusif dan menyeluruh kepada semua mahasiswa. Insya-Allah, dengan adanya peningkatan ini, pengalaman pembelajaran di IPTA akan menjadi lebih baik dan kondusif untuk kejayaan para pelajar.

🔗 Pautan Berkaitan :

FB: https://www.facebook.com/share/p/1DukNRq9ow/

IG: https://www.instagram.com/p/DFz4E8LB8Af/

X: https://x.com/fahmi_fadzil/status/1888191742257803347